Logo

Konsep Logo
Logo UPSI berasaskan sebuah bulatan dua lingkaran yang melambangkan kesepaduan tekad, cita-cita dan azam UPSI. Lingkaran di luar berlatar warna biru dan dilingkungi sebelah atasnya dengan cogan kata, dan di di sebelah bawahnya tahun yang diapit dua titik kecil. Lingkaran di dalam pula bertatar warna mrah yang mengandungi bentuk-bentuk asas bunga, keris, lampu dan molekul berwarna kuning, dan buku berwarna putih yang digunakan untuk merealisasikan visi dan misinya.
Nama Universiti
Nama universiti terdapat dalam 2 bahasa iaitu Bahasa Melayu (tulisan Rumi dan tulisan Jawi) dan Bahasa Inggeris. Disebelah kiri logo, tertera logotaip Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam Bahasa Melayu dari font jenis Trajen Pro Small Cap berwarna biru mengiringi dan menyeimbangi logo. Logo tidak boleh berdiri sendiri tanpa logotaip ini. Nama universiti dalam Bahasa Melayu diberikan penekanan dari sudut saiz kerana universiti ini adalah bibit kepada semangat nasionalisme negara.
Nama universiti dalam tulisan jawi berwarna merah terletak di bawah logotaip utama. Tulisan jawi adalah warisan bangsa dan UPSI berazam untuk mempertahankan dan perteguhkan warisan tulisan jawi pada masa akan datang.
Di bawah garisan halus logo tertera nama universiti dalam Bahasa Inggeris iaitu Sultan Idris Education University. Dalam dunia global adalah penting untuk UPSI memperkenalkan dirinya dengan nama yang boleh difahami oelh masyarakat dunia. Terjemahan nama dalam Bahasa Inggeris bersifat strategik untuk meluaskan kefahaman masyarakat luar terhadap universiti.
Warna Korporat
Warna Biru
Biru melambangkan kesetiaan dan budaya kerja yang profesional dalam memenuhi matlamat dan misi UPSI.
Warna Kuning
Kuning mencerminkan keikhlasan dalam menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Warna Merah
Merah menggambarkan imej ketokohan, dominan, aktif dan progresif serta nilai-nilai yang perlu diadaptasikan dalam mencapai wawasan UPSI.
Cogan Kata
Cogan kata SITC "Pengetahuan Suluh Budiman", yang kekal diguna pakai oleh UPSI menjadi mata rantai penyambung peranannya sebagai penjana dan penerap ilmu bagi kesejahteraan insan. Ilmu pengetahuan adalah obor yang tidak kunjung padam menerangi hati budi manusia dan menjadi penyuluh alam kehidupan yang bahagia. Tiada yang lebih budiman selain berilmu pengetahuan.
Dua Bintik
Dua bintik kuning di kiri dan kanan melambangkan dua institusi pendidikan iaitu SITC dan UPSI yang memegang teguh segala ikrar dan janji setia pelajar dan kakitangan kepada 'Ibu Kandung Suluh Budiman' yang tetap utuh sepanjang zaman.
Corak Arabik
Berbentuk bunga lapan kelopak melanbangkan motif keislaman untuk mencerminkan kesucian ilmu, pendidikan, keikhlasan dan bertangungjawab disamping falsafah universiti yang menitikberatkan lapan elemen, iaitu keimanan, kebudayaan, ketamadunan, kemanusiaan, kemasyarakatan, kenegaraan dan kecemerlangan.
Keris
Keris elambangkan bidang kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada UPSI sebagai pusat penjanaan ilmu pendidikan, seni dan muzik serta bahasa dan kesusasteraan, sains dan teknologi.
Lampu
Lampu mewakili keunikan bentuk dan sejarah UPSI yang bermula dari SITC dan kemudiannya UPSI, diibaratkan sebagai lampu penerang ilmu pengetahuan anak bangsanya. Diharapkan senarnya akan sentiasa menjana pelbagai ilmu baharu menerusi kajian dan penyelidikan.
Molekul
Molekul melambangkan keupayaan universiti memberi penekanan untuk melahirkan tenaga kerja yang aktif dan progresif dalam bidang sains dan teknologi melalui pelaksanaan falsafahnya.
Buku
Buku mencerminkan UPSI sebagai pustaka ilmu pengetahuan yang berkualiti dan profesioanal.
Tiga Lingkaran Bulat
Tiga lingkaran bulat berwarna biru, kuning dan putih melambangkan fungsi UPSI : Pengajaran, Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat.
Keseluruhannya, gabungan rupa dan bentuk-bentuk ini dapat menggambarkan profil UPSI sebagai institusi pengajian tinggi yang bestari, unik, berkualiti dan profesional dari persepsi masyarakat dan penimba ilmu. Jesteru, secara langsung profil yang dimiliki akan membawa kepada budaya korporat yang mencerminkan kualiti, kewibawaan dan sikap kebertanggungjawaban.




