Pusat/Institusi
Dari Perniagaan hingga ke Seni, Bahasa hingga ke Sains dan Teknologi, sesungguhnya kerjaya anda boleh diteruskan dengan kami di UPSI. Kami menawarkan lebih 100 program untuk para mahasiswa, graduan, kedoktoran, dan ijazah khas melalui institut-institut kami. Layari pautan-pautan di bawah untuk sepintas gambaran pusat dan institut kami, dan kemudian anda boleh mengakses laman web institut berkenaan untuk maklumat yang lebih terperinci.
SENARAI PUSAT DAN INSTITUT
Institut Pengajian Siswazah
Institut Peradaban Melayu
Penerbit Universiti
Kesihatan
Pusat Islam
Pusat Kokurikulum
Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki
Pusat Pengurusan Penyelidikan
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)
Pusat Sukan
Pusat ICT
Pusat Teknologi Pendidikan dan Multimedia
Unit Audit Dalam
Kursi Tun Abdul Ghafar Baba
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kepengunaan
MAKLUMAT LANJUT PUSAT DAN INSTITUT
Institut Pengajian Siswazah
Institut Pengajian Siswazah (IPS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dahulunya dikenali sebagai Unit Pascasiswazah ditubuhkan sejak penubuhan UPSI pada tahun 1997. Pada tahun 2000, Unit Pascasiswazah telah dinaikkan taraf ke Pusat Pengajian Siswazah. Pada 1 Oktober 2005, ia dinaikkan taraf ke Institut Pengajian Siswazah bagi meningkatkan fungsi dan memenuhi keperluan mengembangkan Program Pengajian Siswazah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.
pengenalan lawat lamanInstitut Peradaban Melayu
Institut Peradaban Melayu ditubuhkan pada 12 Jun 2001. Ia bertujuan menjalankan serta menjana dan mengumpul ilmu mengenai peradaban Melayu. IPM sedang membina kepustakaan Melayu bagi menghimpunkan maklumat dan pengetahuan mengenai Peradaban Melayu. Koleksi Peradaban Melayu pada masa kini ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun.
Sebuah perpustakaan digital sedang dibangunkan di samping menjalankan penyelidikan melalui projek-projek penyelidikan yang ditaja ataupun melalui penyelidikan pelajar pasca siswazah. IPM sedang berusaha menghimpunkan para sarjana peradaban Melayu bagi menjalankan penyelidikan dan pengajaran bertujuan menyebarkan ilmu melalui Jurnal Peradaban Melayu, hasil penyelidikan, dan mengadakan siri seminar, wacana dan syarahan peradaban Melayu di mana bahan ini diterbitkan secara digital dalam talian internet.
Penerbit Universiti
Penerbit Universiti mula beroperasi secara rasminya pada 1 November 2001. Penubuhannya bertujuan untuk menghasilkan penerbitan ilmiah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris serta memperbanyakkan bahan rujukan semasa dan terkini kepada semua golongan masyarakat. Penerbit juga menerbitkan hasil penyelidikan warga universiti dalam bentuk buku akademik, jurnal dan sebagainya.
Selain itu, Penerbit turut menganjurkan bengkel-bengkel penulisan serta kursus penterjemahan bagi mereka yang berminat. Ini membuka peluang kepada warga akademik menyebarluaskan kepakaran mereka dalam bidang yang diceburi dan ia dapat mengimarahkan budaya penulisan di kalangan warga universiti.
Pusat Kesihatan
Pusat Kesihatan ini bertanggungjawabuntuk memberikan kemudahan perubatan dan rawatan kesihatan yang optima kepada para pelajar Universiti. Pusat Kesihatan diterajui oleh Pegawai Perubatan UD48 serta di bantu oleh seorang Pegawai Perubatan UD47, seorang Pegawai Perubatan UD43 dan kakitangan paramedic serta staf kumpulan sokongan.
pengenalan lawat lamanPusat Islam
Pusat Islam diwujudkan untuk merancang serta melaksanakan aktiviti dan program keagamaan ke arah mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam dalam usaha membina sahsiah dan jati diri masyarakat kampus. Untuk mencapai matlamat tersebut, pelbagai aktiviti diadakan dalam bentuk pendidikan berterusan antaranya seperti sambutan hari kebesaran Islam dan penganjuran seminar, kursus, bengkel, forum, diskusi ilmiah serta berbagai lagi aktiviti keagamaan dilaksanakan sepanjang tahun. Adalah menjadi harapan pusat ini agar nilai-nilai Islam yang universal sentiasa dihayati oleh setiap kakitangan dan pelajar demi melahirkan masyarakat kampus yang bertaqwa.
pengenalan lawat lamanPusat Kokurikulum
Pusat Kokurikulum berusaha mengimbangi antara kecemerlangan bidang akademik dengan aktiviti bukan akademik agar dapat melahirkan siswazah yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kegiatan kokurikulum merupakan agen penerapan ’Kemahiran Insaniah’. Pelajar akan didedahkan kepada aspek kepimpinan, pengurusan organisasi, pembentukan sahsiah diri, kemahiran berkomunikasi serta membuat keputusan.
Selaras dengan matlamat universiti, kegiatan kokurikulum mengimbangi kecemerlangan bidang akademik dengan bukan akademik. Sehingga kini, Pusat Kokurikulum mengendali 75 kursus yang melibatkan lebih kurang 4,500 orang pelajar dengan disokong oleh khidmat 65 orang tenaga pengajar dan 104 orang jurulatih.
Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki
Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki ditubuhkan pada tahun 2004 merupakan sebuah pusat penyelidikan yang memantau perkembangan pengaruh globalisasi terhadap masyarakat khususnya dunia pendidikan pada rantau ini. Proses globalisasi kini dilihat semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat. Menyedari akan fenomena yang berlaku, pusat ini menyediakan peluang kepada setiap warga universiti untuk menjalankan penyelidikan bagi mengupas kesan globalisasi serta perkembangannya terhadap masyarakat.
Empat matlamat utama yang perlu dilaksanakan oleh pusat kecemerlangan ini ialah berkongsi idea melalui perbincangan, seminar atau dialog bagi tujuan membina kolaborasi global, menjalankan penyelidikan mengenai isu isu globalisasi, menerbitkan hasil penyelidikannya dan mendidik warga universiti berhubung isu-isu semasa dan permasalahan global.
Pusat Pengurusan Penyelidikan
Pusat Pengurusan Penyelidikan merupakan pusat yang mengurus pembangunan dan pengkomersilan hasil penyelidikan bagi tujuan meneruskan kesinambungan setiap bidang penyelidikan di universiti ini. Ia bertujuan supaya warga universiti terus dinamik melahirkan faedah untuk masyarakat pada masa hadapan. Pusat ini berperanan sebagai Sekretariat Jawatankuasa Penyelidikan Universiti yang menyimpan segala hasil penyelidikan untuk dijadikan bahan keilmuan atau dikomersilkan bagi faedah setiap lapisan masyarakat.
pengenalan lawat lamanPusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC)
NCDRC dibangunkan di UPSI sebagai pusat rujukan kebangsaan bagi menjalankan penyelidikanpenyelidikan berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan kanak-kanak, penyelarasan isu-isu atau hal ehwal kanak-kanak Malaysia dalam pelbagai aspek. NCDRC juga bertanggungjawab mewujudkan pangkalan data kanak-kanak Malaysia dengan kerjasama pihak kerajaan, swasta dan NGO yang terlibat secara langsung dengan mengetengahkan isu penjagaan kesihatan, kebajikan, pemakanan, perundangan, keselamatan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Sebagai pusat rujukan kepada negara, NCDRC berperanan membantu kerajaan memurnikan dan menggubal dasar-dasar baru yang bersesuaian dengan pengasuhan, kebajikan dan pendidikan awal kanak-kanak. NCDRC juga membantu merancang dan melaksanakan program-program pendidikan keibubapaan dan latihan untuk pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak. Pusat ini turut diberi kepercayaan untuk memantau perlaksanaan program perintis Pusat Anak Permata Negara (PAPN) kelolaan Jabatan Perdana Menteri yang kini sedang diperluaskan ke seluruh negara.
Pusat Sukan
Pusat Sukan yang dilengkapi dengan kemudahan gimnasium merupakan pusat yang menyelaras program sukan bagi seluruh warga universiti. Ia turut menyediakan khidmat jurulatih untuk membantu perkembangan sukan dalam kalangan mahasiswa. Program sukan yang diwujudkan oleh pusat sukan ini tidak hanya bertujuan untuk mengasah bakat sukan bagi mewakili universiti dalam pertandingan pada peringkat negara dan antarabangsa, malahan dapat membina kemantapan serta semangat yakin diri mahasiswa dalam menempuh cabaran. Aktiviti sukan juga berjaya merapatkan hubungan seluruh warga universiti dengan masyarakat di luar universiti bagi memperkayakan nilai diri dan pengalaman kehidupan mahasiswa.
pengenalan lawat lamanPusat ICT
Pusat ICT ditubuhkan pada 11 Jun 2001 sebagai pusat kecemerlangan yang bertanggungjawab untuk merancang dan menyediakan perkhidmatan ICT yang menyeluruh dan terancang bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P), penyelidikan, pentadbiran dan pengurusan. Antara perkhidmatan utama Pusat ICT ialah menguruskan perkhidmatan rangkaian, pembangunan sistem maklumat bersepadu, penyediaan peralatan komputer dan notebook, khidmat penyelenggaraan dan baik pulih serta menganjurkan latihan ICT.
Pusat ICT beriltizam memacu pembangunan dan perkembangan ICT UPSI agar selari dan setanding dengan IPTA yang lain selaras dengan visi menjadikan UPSI sebuah universiti elektronik melalui penyediaan prasarana dan wahana ICT yang bitara di samping memaksimumkan penguasaan ICT dan membudayakan penggunaannya di seluruh universiti.
Pusat Teknologi Pendidikan Dan Multimedia (PTPM)
PTPM ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai pusat yang menawarkan perkhidmatan media dan sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Pusat ini menyediakan perkhidmatan teknologi teleperbincangan bagi seluruh warga universiti dalam usaha meningkatkan proses perbincangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan bilik dan dewan kuliah dilengkapi dengan peralatan teknologi multimedia untuk memudahkan tenaga akademik memilih dan menggunakan teknologi teleperbincangan dan pembelajaran yang sesuai dengan matlamat dan objektif pengajaran.
Selain itu, PTPM juga memberi khidmat pinjaman peralatan media untuk kakitangan akademik dan sokongan, membuat liputan video dan foto digital (still digital photography) dalam upacara rasmi universiti, menyediakan kemudahan pengajaran mikro, kemudahan multimedia, komputer grafik dan teknologi teleperbincangan untuk seminar, persidangan, bengkel, latihan dan pameran yang dianjurkan oleh universiti. PTPM turut menyediakan kemudahan penyelenggaraan dan baik pulih peralatan teknologi instruksional, memberi khidmat nasihat tentang pemilihan dan pembelian peralatan teknologi teleperbincangan dalam usaha membudayakan penggunaan sistem e-Pembelajaran sebagai pelengkap proses pengajaran dan pembelajaran sebuah institut pengajian tinggi.
Unit Audit Dalam
Unit Audit Dalam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UAD-UPSI) secara pentadbirannya diletakkan terus di bawah Naib Canselor manakala secara fungsinya bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Audit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Jawatankuasa Audit Universiti terdiri daripada 3 orang ahli dan seorang setiausaha (Juruaudit Dalaman).
pengenalan lawat lamanKursi Tun Abdul Ghafar Baba
Kursi Pengajian Tun Abdul Ghafar Baba ditubuhkan pada 13 Jun 2007 di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bagi menyediakan peluang kepada mahasiswa dan warga universiti umumnya untuk mendalami ilmu dan kepakaran kepimpinan perguruan. Menerusi penyelidikan dalam bidang kemanusiaan dan hubungan etnik, integrasi nasional, kursi ini telah banyak menghasilkan penerbitan sebagai bahan rujukan bidang kepimpinan pendidikan.
Penubuhan kursi ini bertujuan untuk mengenang jasa mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan alumni SITC. Pusat ini bakal menerajui penyelidikan dalam bidang kepimpinan politik dengan mengupas perkembangan sejarah politik negara bagi dikembangkan sebagai ilmu pengetahuan untuk generasi akan datang.
Pusat Pembangunaan Keusahawanan dan Kepenggunaan
Pusat Pembangunan Keusahawanan Dan Kepenggunaan (PPKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah distrukturkan semula dan dilancarkan pada 1 Mac 2011 di bawah Canselori. Sejarah pusat ini bermula dengan kelulusan penubuhannya pada 4 Ogos 2010 di bawah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi. Fungsi khususnya adalah untuk melaksanakan program-program keusahawanan di peringkat Universiti supaya pelajar-pelajar bergiat aktif di dalam bidang keusahawanan.
Keusahawanan UPSI dengan disokong oleh Pengurusan Tertinggi Universiti yang signifikan untuk kejayaan hasrat kerajaan ini.




