Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

UPSI terletak di Tanjung Malim Perak Darul Ridzuan. UPSI mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.

UPSI begitu komited untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

UPSI Terbilang di Hamparan Warisan Tiga Generasi

Pendahuluan

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negara. Institusi ini berkembang secara bertahap dari sebuah kolej ke sebuah universiti. Agak menarik apabila meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama. Secara kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922 – 1957), era MPSI (1957 – 1987) dan era IPSI (21 Februari 1987 – April 1997). Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.

Maktab Latihan Guru

Peranan R.O. Winstedt tercatat dalam sejarah SITC sebagai tokoh terawal yang mengilhamkan cadangan agar ditubuhkan sebuah maktab pusat bagi melatih guru dan bagi meluaskan skop pendidikan pada ketika itu. Ilham ini timbul setelah kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Cadangan ini dibawa ke Persidangan Residen-Residen pada 10 Mei 1917.

Beliau juga turut menyarankan supaya tapak tempat maktab yang bakal didirikan itu mestilah mempunyai tanah yang subur, bagi menampung keperluan kurikulum yang banyak berteraskan kepada kemahiran dalam bidang pertanian. Tempat yang dipilih juga seharusnya berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan berhampiran dengan sungai. Satu lagi aspek yang difikirkan ialah komposisi penduduknya haruslah sederhana ramai.

Lokasi

Dalam proses mencari tempat yang sesuai itu, Tanjong Malim dilihat sebagai satu-satunya tempat yang paling menepati ciri-ciri lokasi dan faktor geografi sebagaimana yang dihasratkan oleh Winstedt. Pada 26 Mei 1917, Tanjong Malim secara rasmi dipilih sebagai tempat pembinaan maktab. Tanah seluas 64 hektar telah dibeli di Tanjong Malim dengan harga $49,000.00 untuk dijadikan kampus dan kerja-kerja pembinaan bermula pada bulan Ogos 1919. Reka bentuk bangunannya berunsur seni bina ala-Gothic Zaman Pertengahan. Pada tahun 1922, pembinaan maktab siap sepenuhnya. Pada 29 November 1922 SITC dirasmikan oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sultan Idris Training College (SITC)

Pada tarikh yang sama juga cadangan untuk memberikan nama maktab ini sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah dimaklumkan kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Shah. Cadangan ini diperkenankan baginda Sultan. Nama Almarhum Sultan Idris Shah diabadikan pada nama maktab ini sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar Almarhum dalam bidang pendidikan. Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah ialah Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara tahun 1889 – 1916.

Penubuhan SITC dianggap sebagai satu era baru yang menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu. Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Tuan Wolffe dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa, hari tersebut menandakan titik bersejarah bagi orang Melayu kerana ia (penubuhan SITC) merupakan titik tolak dalam perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Menurutnya lagi, orang Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar serta penghargaan yang tidak ada tolok bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak Melayu.

SITC berkembang pantas. Kemasukan pelatihnya pula tidak terbatas hanya kepada orang Melayu di Tanah Melayu, malah meluas hingga ke Brunei, British Borneo dan Singapura. Pada bulan Mac 1924, SITC mengeluarkan guru terlatihnya yang pertama seramai 58 orang. Jumlah guru terlatih yang dikeluarkan terus meningkat dari setahun ke setahun. Dalam era ini jugalah bermulanya usaha membina peradaban bangsa menerusi bahasa Melayu. Pejabat Karang-Mengarang menjadi lidah rasmi yang memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda. Usaha ini berkembang subur di tangan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba.

Kurikulum latihan perguruan di SITC tertumpu kepada pengetahuan asas keguruan di samping kraf tangan dan pertanian. Sejak ditubuhkan, institusi ini terus unggul berbakti kepada bangsa dan negara. Ia disifatkan sebagai ‘universiti’ yang unggul bagi melatih guru-guru Melayu.

Pengambilan Pelajar SITC

Bermula 19 November 1922, pengambilan kumpulan pertama pelatih lelaki berjumlah 115 orang telah mendaftar. Beberapa hari selepas pendaftaran itu, sejumlah lima orang pelatih lagi diterima masuk yang membawa jumlah keseluruhannya 120 orang. Kumpulan pertama guru pelatih ini sebenarnya terdiri daripada 70 orang dari Maktab Perguruan Melayu Melaka dan 50 orang lagi dari Maktab Perguruan Matang. Jumlah tenaga pengajarnya pula adalah seramai empat orang berbangsa Eropah, tujuh orang guru Melayu, seorang guru anyaman dari Manila dan seorang guru al-Quran dari Matang. Mereka ialah O.T. Dussek (Pengetua), M.R. Holgate, W.B.O. Sir Williams, D.H. Ghrist, Mohammad Hashim Hj Taib, Noordin Hj Harun, Ibrahim Dato’ Muda Linggi, Abdul Rahman Hj Muhyiddin, Hanafiah Md Saman, Mohamad Said Hj Hussin, Abdul Hadi, Mr. W. Olaguera (Manila) dan Lebai Jaafar Abdul Rashid (guru al-Quran). O.T. Dussek dilantik sebagai Pengetua SITC yang pertama. Pada tahun 1923 jumlah tenaga pengajar bertambah. Pertambahan ini melibatkan sepuluh orang guru berbangsa Melayu dan seorang berbangsa Filipina. Guru-guru ini pada asalnya merupakan tenaga pengajar dari Maktab Perguruan Matang yang telah ditutup dan sebahagiannya dari Maktab Perguruan Melaka.

Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)

Pada tahun 1957 nama SITC ditukarkan kepada nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Langkah ini dilakukan bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak. Dari tarikh ini bermulalah era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran SITC yang selama ini diketuai orang Eropah beralih tangan kepada cendekiawan Melayu.

Meskipun berubah pada nama, namun tradisi SITC menjadi akar yang menumbuhkan kecemerlangan institusi ini dalam era MPSI dan era-era seterusnya. Peranan MPSI tidak setakat melatih dan mendidik bakal guru, namun menjadi medan pengungkap bicara dan suara hati para cerdik pandai dan nasionalis Melayu. Pembinaan bahasa Melayu sebagai satu korpus dikukuhkan lagi dengan kemunculan tradisi penulisan kreatif dalam kalangan guru pelatih dan tenaga pengajar. Tradisi ini sudah bermula pada era SITC di tangan Harun Aminurrashid dan Punggok, tetapi berkembang luas dalam era MPSI. Pada waktu inilah munculnya beberapa tokoh besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya ialah A. Wahab Ali, Ali Majod, Kasmani Haji Arif, Awang Had Salleh, Hassan Ali, Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad, Suratman Markasan, Masuri S.N., Yura Halim dan lain-lain lagi.

Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya apabila menerima 140 orang penuntut perempuan. Perkembangan baharu ini telah mewujudkan senario baru dalam tradisi MPSI. Meskipun penuntut perempuan diterima masuk, namun MPSI terus ke hadapan sebagai sebuah institusi perguruan yang cemerlang dan terunggul tanpa membezakan taraf dan jantina.

Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI)

Era MPSI berakhir pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Era IPSI merupakan satu zaman mencabar, kerana kedudukannya sebagai sebuah institusi tidaklah hanya meninggikan nama semata-mata, tetapi turut melonjakkan harapan anak bangsa dan masyarakat Melayu serta kerajaan yang mentadbir untuk melihat IPSI benar-benar menjadi tonggak harapan bagi mempertingkatkan taraf pendidikan rakyat, khususnya orang-orang Melayu. Justeru, IPSI mengorak langkah panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Antaranya ialah mengadakan Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bermula pada tahun 1988. Pada tahun 1993 Kursus Kembaran dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani.

Peranan SITC dan MPSI telah diperkasakan dalam era IPSI menerusi rangkaian kerjasama pengajian yang diadakan dengan pihak-pihak lain di luar IPSI. Ruang lingkup dan sempadan jangkauan IPSI merentas tembok itu sendiri. IPSI bergerak seiring dengan kemajuan institusi-institusi pengajian tinggi awam lain dalam konteks merealisasikan matlamat kerajaan untuk menghasilkan tenaga pengajar yang berwibawa dan bermanfaat demi kesejahteraan masyarakat dan negara. Peranan IPSI berterusan hingga ke tahun 1993 apabila pada masa itu sistem latihan perguruan mengamalkan sistem bersepadu, iaitu sesebuah maktab perguruan melatih guru-guru untuk sekolah rendah dan menengah.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Genap usia sepuluh tahun, IPSI memasuki era barunya pada tahun 1997 dengan langkah yang penuh bergaya apabila institusi ini secara rasmi dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti. Bagi menjalankan perintah kerajaan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 132 & 133 bertarikh 24 Februari 1997, maka bermula 1 Mei 1997, tertubuhlah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikenali hari ini dengan nama singkatannya UPSI.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula beroperasi pada 2 Mei 1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang. Datuk Dr. Ashari Che Mat telah dilantik sebagai Naib Canselor Pertama manakala Profesor Dr. Abu Bakar Nordin (kini bergelar Dato’) sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik. Mereka dibantu oleh Encik Sayuti Sahlan, Encik Yusof Semahil dan Encik Rusley Taib untuk membangunkan UPSI dalam serba kekurangan.

Berbekalkan enam orang kakitangan pentadbiran dan 29 orang tenaga akademik yang kebanyakannya dipinjamkan dari pelbagai agensi Kementerian Pendidikan Malaysia, UPSI mengorak langkah ke gelanggang pendidikan dengan semangat dan cita-cita murni. Ternyata, tidak mudah bagi UPSI menarik nafas lega, kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kekentalan semangat dan iltizam beserta dorongan Kementerian Pendidikan, UPSI menapak langkah demi langkah membina kekuatan diri berdiri atas kemampuan sendiri yang akhirnya berjaya menempatkan dirinya seiring dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang lain waktu ini.

Pembangunan infrastruktur bermula dengan pembinaan Bangunan Canselori pada tahun 1999 dan Kompleks Kediaman Siswa di Behrang Ulu. Pada awal tahun 2001, pembangunan semakin rancak dilaksanakan dengan pembinaan Gimnasium, Perpustakaan, Auditorium, Kompleks Pendidikan Muzik, dewan-dewan kuliah dan lain-lain. Beberapa kemudahan sedia ada yang merupakan warisan SITC-MPSI-IPSI dibaik pulih dengan beberapa pembaharuan, sesuai dengan kemajuan teknologi di samping mengekalkan struktur asalnya. Pembangunan yang rancak ini telah menampilkan imej UPSI sebagai sebuah institusi pengajian tinggi. Nama UPSI terpancar sebagai simbol keunggulan institusi ini sebagai sebuah universiti yang sepenuhnya menawarkan program pengajian pendidikan baik di peringkat ijazah sarjana muda mahupun lanjutan.

Pada awal penubuhannya, terdapat hanya empat buah fakulti yang menawarkan sepuluh program pengajian. Fakulti-fakulti tersebut adalah Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kesenian, Fakulti Sains dan Teknologi, dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Jumlah program pengajian bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, dua buah fakulti baharu ditubuhkan, iaitu Fakulti Perniagaan dan Ekonomi dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, menjadikan jumlah fakulti sehingga itu enam buah dengan jumlah 19 kursus pengajian di peringkat ijazah sarjana muda. Peningkatan ini menggambarkan perubahan besar yang dilakukan bagi menampung keperluan akademik dan jumlah pelajar yang kian bertambah.

Sehingga kini, sebanyak sembilan buah fakulti sudah ditubuhkan dan fakulti tersebut adalah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM), Fakulti Sains dan Matematik (FSMT), Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK). UPSI juga sudah mempunyai 54 program pengajian ( 7 Program Diploma, 35 Program Sarjana Muda Pendidikan, 4 Program Sarjana Muda Dengan Pendidikan, dan 8 Program Ijazah Sarjana Muda). Selain itu, Institut Pengajian Siswazah (IPS) menawarkan 173 Program Pengajian (103 Program Sarjana dan 70 Program Doktor Falsafah).

Kampus Sultan Abdul Jalil Shah

Majlis Pecah Tanah Kampus Sultan Azlan Shah telah disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 22 April 2002. Dalam titah perasmiannya baginda telah mengumumkan nama kampus utama UPSI sebagai Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang lokasinya di Tanjung Malim manakala untuk kampus baru di Proton City diberi nama Kampus Sultan Azlan Shah.

Kampus Sultan Azlan Shah

Kampus Sultan Azlan Shah telah dirancang bermula sejak Rancangan Malaysia Ke-8 lagi. Dengan adanya kampus baru ini, infrastruktur pengajaran dan pembelajaran di UPSI dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih sempurna sejajar dengan kehendak kerajaan bagi memperkasa dan meningkatkan mutu pendidikan institut pengajian tinggi awam.

Pada 20 Februari 2012, Kampus Sultan Azlan Shah dengan rasminya beroperasi dengan menempatkan beberapa fakulti seperti Blok 1 – Blok 6 untuk Fakulti Sains & Matematik, Blok 7 – Blok 9 untuk Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Blok 10 untuk Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Dewan Kuliah Berpusat, Dewan Besar dan Panggung Percubaan, Kafetaria, Rotu, Balai Pengawal dan Pos Pengawal, Pusat Pelajar, Pusat Komputer, Surau dan Pusat Islam.

Kampus ini terletak berdekatan kira-kira 8 km dari kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Tapak yang bertempat di Bandar Baru Proton City ini akan memberikan satu impak pembangunan kepada kawasan sekitar terutamanya kepada bandar Proton City. Kampus yang berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar Proton dan Kilang Proton ini juga lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan kehijauan Banjaran Titiwangsa yang segar dan mengasyikkan. Keindahan sumber alam semulajadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar. Kampus baru ini telah dirasmikan dengan jaya dan penuh bersejarah oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 16 Jun 2012.

Kemasukan Pelajar UPSI

Jika dilihat dari segi bilangan pengambilan pelajar dalam tempoh lima belas tahun (1997 – 2014), peratus pengambilan amat besar jika dibandingkan dengan perancangan awal penubuhan universiti ini. Minat pelajar lulusan STPM, Diploma atau yang setaraf dengannya amat tinggi sekali dan umum mengetahui bahawa UPSI adalah IPTA paling popular menjadi pilihan pelajar. Dari seramai 338 orang pelajar pada tahun 1997, sehingga kini (2014) enrolmen pelajar UPSI menjangkau 21,554 pelajar Ijazah Sarjana Muda, 291 pelajar Diploma Pendidikan, 3,125 pelajar diploma dan pelajar pasca siswazah seramai 5,497 orang. Jumlah keseluruhan enrolmen pelajar UPSI 2014 adalah 30,476 orang.

Sehingga Istiadat Konvokesyen Ke-16 yang berakhir pada September 2014 lalu (1999 – 2014), UPSI telah melahirkan seramai 38,820 graduan sarjana muda, diploma, dan ijazah lanjutan (Kedoktoran dan Sarjana).

Menginsafi Bahawa

Pertama, fungsi sesebuah Universiti bukanlah sekadar menguruskan program-program latihan, tetapi lebih penting daripada itu, ialah mengendalikan sebuah proses pendidikan ke arah pembinaan dan pengukuhan sebuah peradaban, sama ada secara ketara ataupun tersirat ;

Kedua, Universiti adalah sebuah lanjutan kepada kesinambungan sebuah tradisi pendidikan perguruan yang berusia lebih sembilan dekad dengan kebitaraan dan kecemerlangannya yang tersendiri ;

UPSI sambil mengiktiraf kekuatannya dalam sejarah bangsa dari segi sumbangannya bagi tempoh hampir satu abad, hendaklah juga menginsafi hakikat yang ia harus terus hidup dalam seni perubahan yang semakin pesat dalam era ini.

Maka

Melewati fungsi utamanya untuk melahirkan lulusan bagi mengisi keperluan sumber daya manusia yang mencukupi bagi negara, universiti hendaklah menjadikan dirinya bertanggungjawab untuk mendidik pelajar-pelajarnya malah seluruh anggota masyarakat universiti sendiri, memiliki ciri-ciri berikut :

  • Pertama, beriman sejati, berkeperihatinan atas kesucian ilmu dan pengetahuan, kebijaksanaan dan berkeikhlasan intelek, berperikemanusiaan dan bertatalaku mulia ;
  • Kedua, bersifat patriotis dan nasionalis yang sihat dan liberal serta bersifat celik budaya, celik agama dan celik global;

Matlamat terakhir UPSI adalah menjadikan anggota masyarakatnya, terutama sekali pelajar-pelajarnya, berimbang perkembangan minda, jiwa, jasmani dan rohaninya, serta berpeluang merealisasi diri sendiri sebagai individu dan memperkembangkan diri sendiri sebagai anggota yang bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara serta dunia dan alam sejagat.

Ke arah itu, Universiti meletak keutamaan tertinggi ke atas keimanan, keilmuan, kebudayaan, ketamadunan, kemanusiaan, kemsayarakatan dan kenegaraan. Dalam mendekati matlamat falsafah ini, Universiti menitikberatkan kecemerlangan dalam setiap bidang aktivitinya.

VISI

Menjadi Universiti yang bitara, cemerlang dalam kepemimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.

MISI

Menjana dan menatar ilmu menerusi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat, dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara.

MOTO

UPSI NO.1 PENDIDIKAN | UPSI NO.1 IN EDUCATION

Matlamat

Untuk mencapai misi di atas, Universiti berazam dan beriltizam :

  • Mengutamakan keikhlasan intelek dan kejujuran sikap dalam aktiviti meneroka sambil menyoal kembali kebenaran yang telah diterima selama ini bagi menjana, mengembang dan memperdalam ilmu;

  • Mewujudkan kesinambungan sumbangan yang berterusan bagi membangun dan memperkaya ilmu terutamanya menerusi bahasa Melayu dalam pelbagai bidang;

  • Menatar dan berkongsi ilmu melalui aktiviti-aktiviti kesarjanaan, termasuk perangkaian maklumat, pendidikan, penerbitan dan perundingan dalam dan luar negara;

  • Membina potensi individu bagi menjadikannya berilmu, berketerampilan, berbakat tinggi, berakhlak mulia dan bersemangat patriotis;

  • Menggerakkan komunitinya supaya lebih prihatin betapa perlunya mereka menyumbang khidmat kepada masyarakat dan negara, terutama ke arah pemupukan semangat patriotis dan nasionalistis untuk membina sebuah bangsa Malaysia dan menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

Tarikh Kemaskini : 25 JULAI 2018
Sumber : Jabatan Pendaftar, Bahagian Governan

Cokmar yang asalnya merupakan alat senjata diubah bentuknya menjadi sebuah alat lambang kebesaran dan kuasa. Catatan sejarah menunjukkan bahawa pada 19 Mac 1952, Majlis Raja-Raja telah menghadiahkan sebuah cokmar kepada Majlis Perundangan. Ekoran dari itu wujudlah cokmar negeri-negeri serta institusi pengajian tinggi yang menjadi lambang kuasa penganugerahan ijazah.

Memandangkan pentingnya cokmar, pada 18 Disember 1998, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menempah sebuah cokmar yang diperbuat daripada Perak Sterling (p25ag) berukuran 22G (gauge) tebal dan 105sm panjang.

Cokmar lambang kebesaran Universiti Pendidikan Sultan Idris adalah limpah kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersempena dengan Istiadat Perlantikan Canselor Pertama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Bainun di Istiadat Konvokesyen Pertama pada 4 Disember 1999.

Cokmar ini lazimnya digunakan di majlis-majlis rasmi Universiti seperti Istiadat Konvokesyen dan majlis-majlis khas yang dipengerusikan oleh Canselor Universiti sendiri. Cokmar ini menandakan kebesaran kuasa Canselor sebagai Ketua Universiti.

Obor, bahagian puncak cokmar mencitrakan peranan Universiti ini menyinarkan cahaya menerangi tamadun ilmu di rantau ini. Dibawah obor itu tertulis nama Universiti dalam bahasa jawi.

Pada bahagian kepala cokmar itu diukir lambang jata negara Malaysia yang mencerminkan bahawa institusi ini adalah milik negara kerajaan Persekutuan, dan lambang Universiti untuk menjelaskan identiti dan fungsinya. Di bahagian bawahnya terukir motif-motif mata pena yang melambangkan Universiti ini mengamalkan pemikiran intelek dan budaya menyelidik ilmu dan mencari kebenaran.

Batang cokmar pula terbahagi kepada 3 bahagian ; mencerminkan tiga peringkat pengajian yang diamalkan dinegara ini – rendah, menengah dan Universiti, dan melambangkan tiga tahap pengajaran di Universiti ini, iaitu ijazah pertama, kedua dan ketiga. Pada batang cokmar itu juga terlukis motif bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan kita.

Batil, bahagian bawah cokmar yang dihias ukiran awan larat menjulang ke atas melambangkan hasrat Universiti ini untuk terus berkembang maju menyebarkan ilmu pengetahuan disamping menjunjung nilai tradisi dan kepercayaan kita kepada Yang Maha Esa.

Konsep Logo

Logo UPSI berasaskan sebuah bulatan dua lingkaran yang melambangkan kesepaduan tekad, cita-cita dan azam UPSI. Lingkaran di luar berlatar warna biru dan dilingkungi sebelah atasnya dengan cogan kata, dan di di sebelah bawahnya tahun yang diapit dua titik kecil. Lingkaran di dalam pula bertatar warna merah yang mengandungi bentuk-bentuk asas bunga, keris, lampu dan molekul berwarna kuning, dan buku berwarna putih yang digunakan untuk merealisasikan visi dan misinya.

Nama Universiti

Nama universiti terdapat dalam 2 bahasa iaitu Bahasa Melayu (tulisan Rumi dan tulisan Jawi) dan Bahasa Inggeris. Disebelah kiri logo, tertera logotaip Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam Bahasa Melayu dari font jenis Trajen Pro Small Cap berwarna biru mengiringi dan menyeimbangi logo. Logo tidak boleh berdiri sendiri tanpa logotaip ini. Nama universiti dalam Bahasa Melayu diberikan penekanan dari sudut saiz kerana universiti ini adalah bibit kepada semangat nasionalisme negara.

Nama universiti dalam tulisan jawi berwarna merah terletak di bawah logotaip utama. Tulisan jawi adalah warisan bangsa dan UPSI berazam untuk mempertahankan dan perteguhkan warisan tulisan jawi pada masa akan datang.

Di bawah garisan halus logo tertera nama universiti dalam Bahasa Inggeris iaitu Sultan Idris Education University. Dalam dunia global adalah penting untuk UPSI memperkenalkan dirinya dengan nama yang boleh difahami oleh masyarakat dunia. Terjemahan nama dalam Bahasa Inggeris bersifat strategik untuk meluaskan kefahaman masyarakat luar terhadap universiti.

Warna Korporat

Warna Biru
Biru melambangkan kesetiaan dan budaya kerja yang profesional dalam memenuhi matlamat dan misi UPSI.

Warna Kuning
Kuning mencerminkan keikhlasan dalam menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Warna Merah
Merah menggambarkan imej ketokohan, dominan, aktif dan progresif serta nilai-nilai yang perlu diadaptasikan dalam mencapai wawasan UPSI.

Cogan Kata

Cogan kata SITC “Pengetahuan Suluh Budiman”, yang kekal diguna pakai oleh UPSI menjadi mata rantai penyambung peranannya sebagai penjana dan penerap ilmu bagi kesejahteraan insan. Ilmu pengetahuan adalah obor yang tidak kunjung padam menerangi hati budi manusia dan menjadi penyuluh alam kehidupan yang bahagia. Tiada yang lebih budiman selain berilmu pengetahuan.

Dua Bintik

Dua bintik kuning di kiri dan kanan melambangkan dua institusi pendidikan iaitu SITC dan UPSI yang memegang teguh segala ikrar dan janji setia pelajar dan kakitangan kepada ‘Ibu Kandung Suluh Budiman’ yang tetap utuh sepanjang zaman.

Corak Arabisque

Berbentuk bunga lapan kelopak melambangkan motif keislaman untuk mencerminkan kesucian ilmu, pendidikan, keikhlasan dan bertanggungjawab disamping falsafah universiti yang menitikberatkan lapan elemen, iaitu Keimanan, Kebijaksanaan, Kebudayaan, Ketamadunan, Kemanusiaan, Kemasyarakatan, Kenegaraan dan Kecemerlangan.

Keris

Keris melambangkan bidang kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada UPSI sebagai pusat penjanaan ilmu pendidikan, seni dan muzik serta bahasa dan kesusasteraan, sains dan teknologi yang terkini.

Lampu

Lampu mewakili keunikan bentuk dan sejarah UPSI yang bermula dari SITC dan kemudiannya UPSI, diibaratkan sebagai lampu penerang ilmu pengetahuan anak bangsanya. Diharapkan sinarnya akan sentiasa menjana pelbagai ilmu baharu menerusi kajian dan penyelidikan.

Molekul

Molekul melambangkan keupayaan universiti memberi penekanan untuk melahirkan tenaga kerja yang aktif dan progresif dalam bidang sains dan teknologi melalui pelaksanaan falsafahnya.

Buku

Buku mencerminkan UPSI sebagai pustaka ilmu pengetahuan yang berkualiti dan profesional.

Tiga Lingkaran Bulat

Tiga lingkaran bulat berwarna biru, kuning dan putih melambangkan fungsi UPSI : Pengajaran, Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat.

Keseluruhannya, gabungan rupa dan bentuk-bentuk ini dapat menggambarkan profil UPSI sebagai institusi pengajian tinggi yang bestari, unik, berkualiti dan profesional dari persepsi masyarakat dan penimba ilmu. Justeru, secara langsung profil yang dimiliki akan membawa kepada budaya korporat yang mencerminkan kualiti, kewibawaan dan sikap kebertanggungjawaban.

Muat Turun

1] Muat Turun Logo Format PNG

 

IBU KANDUNG SULUH BUDIMAN

Ibu Kandung Suluh Budiman Obor Di malam Gelap Bina Budi Penyebar Tekad Pancaran Semangat Waja

Ibu Kandung Suluh Budiman Ibu Pujaan Kami Yang Berjasa Pada Masyarakat Hidup Gagah Berani

Ibu Kandung Suluh Budiman Dengarlah Sumpah Sumbangsih Nan Suci Selagi Hayat Dikandung Badan Kami Tetap Berbakti

  • Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif

    • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan salah satu universiti awam utama terkemuka di Malaysia yang mendukung komuniti pembelajaran pelajar dan fakulti. Terkenal sebagai kepimpinan pendidikan guru, UPSI menyediakan program-program inovatif serta pembelajaran sepanjang hayat. Kedudukan UPSI adalah konsisten diantara universiti-universiti utama Malaysia.

  • Maklumat Umum

    • Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (Kampus Induk) – 80 ekar
      Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City – 800 ekar

  • Fakulti

    • Jumlah Fakulti – 9
      Institut Pengajian Siswazah- 1

  • Jumlah Pelajar UPSI

    • Ijazah Sarjana Muda
      Jumlah Pelajar 2020/2021 : 20,014

      Diploma
      Diploma : 3,536

      Pelajar Antarabangsa (Ijazah Sarjana Muda)
      Jumlah Pelajar Antarabangsa : 291

      Negara pelajar antarabangsa :
      Bangladesh (47), China (220), Mesir (2), Indonesia (7), Nigeria (2),  Palestin (2), Syrian Arab Republic (2), Thailand (2), and Somalia (6).

      *Data sehingga 09 Oktober 2020

      Pasca Siswazah
      Jumlah Pelajar 2020/2021 : 4,798
      Ijazah Sarjana : 3,328
      Ijazah Kedoktoran : 1,470

      Pelajar Antarabangsa : 584

      Negara pelajar antarabangsa :
      Arab Saudi (1), Australia (1), Bahrain (1), Bangladesh (25), China (123), Comoros (1), Egypt (7), India (2), Indonesia (170), Iran (2), Iraq (83), Jordan (12), Libya (8), Namibia (7), Nigeria (3), Oman (9), Pakistan (8), Palestin (5), Philippines (5), Singapore (5), Somalia (1), Sudan (2), Switzerland (1), Syria (4), Thailand (2), United Arab Emirates (93), United Kingdom (1), Uzbekistan (2) danYemen (2).

      Kakitangan UPSI
      Jumlah Kakitangan UPSI : 2,065

      Kakitangan Akademik (Tetap & Kontrak) : 846
      Lelaki : 388
      Perempuan : 458

      Kakitangan Bukan Akademik (Tetap & Kontrak) : 1,219
      Lelaki : 664
      Perempuan : 555

      Kakitangan Antarabangsa : 33
      Lelaki : 20
      Perempuan : 13

      15 buah negara kakitangan antarabangsa :
      Australia (1), China (1), India (3), Indonesia (8), Iran (3), Iraq (3), Korea Selatan (1), Nigeria (1), Pakistan (3) Palestin (2), Sudan (2), Turki (1), USA (1), Uzbekistan (2), Filipina (1)

  • Sejarah dan Tradisi

    • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut ulang tahunnya pada 1 Mei setiap tahun. Sejarah penubuhannya disusuli dengan penubuhannya pada 1922 sebagai sebuah institusi pendidikan terawal di Malaysia dengan nama Sultan Idris Training College (SITC). Warna korporat UPSI adalah Biru Kelasi dan Merah.

  • Pengurusan Tertinggi Universiti

    • Canselor
      Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim

      Pro Canselor
      1. Academician Profesor Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zakri Abdul Hamid
      2. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom

      Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah UPSI
      YBhg. Puan Sri Rohani Parkash binti Abdullah

      Menjalankan Fungsi Naib Canselor
      YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin bin Md. Taff

      Timbalan Naib Canselor
      1.Prof. Dr. Marzita binti Puteh (Akademik & Antarabangsa)
      2. Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar (Penyelidikan dan Inovasi)
      3. Profesor Dr. Md. Amin bin Md. Taff (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)   

  • Maklumat lanjut :

    • Laman Web UPSI
      http://www.upsi.edu.my/

      Talian Utama UPSI
      +605 450 6000 (Talian AM)
      +605 450 6332 / 6334 / 6661 (Bahagian Komunikasi Korporat)
      +605 450 5090 (Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa)
      +6015 4879 7981 (Unit Kemasukan, Bahagian Hal Ehwal Akademik)

      Kemaskini Terakhir : 09 Oktober 2020

      Sumber :
      1. Bahagian Hal Ehwal AKademik
      2. Institut Pengajian Siswazah
      3. Bahagian Sumber Manusia
      4. Bahagian Govenan
      5. Bahagian Komunikasi Korporat

Kami  berjanji dan komited untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap, professional, beretika dan mesra kepada pelanggan kami seperti berikut:

Menawarkan program pendidikan berkualiti yang holistik                       

  1. Memberi khidmat rundingan dan nasihat kepada sekurang-kurangnya 80% pelajar tahun akhir dalam mendapatkan pekerjaan mengikut keperluan industri
  2. Semua program mendapat Akreditasi MQA

Menawarkan persekitaran pembelajaran dan prasarana yang kondusif

  1. 100% bilik pembelajaran dilengkapi dengan teknologi pendidikan yang berfungsi.
  2. Sekurang-kurangnya 60% pelajar mendapat penginapan dalam kampus
  3. Kebolehcapaian Sistem Maklumat Bersepadu Universiti (SMBU) dan rangkaian kawasan setempat (LAN) UPSINet sekurang-kurangnya 98% dalam setahun
  4. Bahan perpustakaan diproses dan dikatalog dalam tempoh satu (1) bulan untuk rujukan pelanggan.
  5. Memastikan pemantauan kemudahan, peralatan dan perkhidmatan di dewan/bilik kuliah di bawah kawalan JPPHB dilakukan sebulan sekali.
  6. Semua pelajar disediakan kemudahan kesihatan dalam kampus

Menyediakan staf akademik dan pentadbiran yang berkelayakan dan berkualiti.

  1. Sekurang-kurangnya 75% pensyarah memiliki PhD
  2. 100% staf mencapai 24 jam mata CPD

Memupuk budaya kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi.

  1. Setiap pensyarah wajib menjalankan penyelidikan
  2. Pensyarah yang tiada geran penyelidikan akan dibantu untuk mendapatkan geran penyelidikan.
  3. Sekurang-kurangnya 30% pensyarah menjadi Ketua Penyelidik
  4. Maklum balas kepada pengadu perlu dibuat dalam tempoh satu (1) hari bekerja untuk memberitahu bahawa aduan mereka telah diambil perhatian dan akan diselesaikan.

Memberi layanan mesra dan profesional.

  1. Sekurang-kurangnya 85% pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan

Komited dalam memberi khidmat masyarakat.

  1. Membuat pelan tindakan terhadap bencana alam dalam tempoh 48 jam.
  2. Memastikan program/aktiviti sukarelawan dan khidmat masyarakat yang melibatkan komuniti dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya 15 kali setahun.

Tarikh Kemaskini : 14 Disember 2019

POLISI KUALITI
UPSI beriltizam menjadi universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan semua proses sokongan secara berterusan untuk memenuhi kehendak-kehendak pihak berkepentingan yang ditetapkan dalam Sistem Pengurusan Kualiti UPSI MS ISO 9001:2015.

OBJEKTIF KUALITI

  1. Mencapai kebitaraan akademik menerusi kecemerlangan staf akademik, pelajar dan penawaran kursus.
  2. Menghasilkan graduan holistik yang unggul dari perspektif akademik dan akhlak serta keusahawanan.
  3. Menerajui kecemerlangan menerusi aktiviti penyelidikan, penerbitan, perundingan dan pengkomersilan.
  4. Memperluaskan kolaborasi strategik bersama pihak industri dan komuniti sehingga ke peringkat antarabangsa.
  5. Memperhebatkan tadbir urus dalam penyediaan sumber, infrastruktur dan infostruktur.

KAMPUS UPSI

Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim

Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City

Newsletter